Walkabout YAB Menteri Besar Perak di Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Perak

Facebook
WhatsApp
Telegram
Email
X

YAB Dato’ Seri Saarani bin Mohamad, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan telah mengadakan walkabout ke Bazar Ramadan Pekarangan Stadium Perak, hari ini bagi meninjau operasi bazar serta memastikan pengurusan dan kemudahan yang disediakan berada pada tahap terbaik untuk keselesaan peniaga dan pengunjung sepanjang bulan Ramadan.

Lawatan ini bertujuan menyantuni para peniaga dan pengunjung, di samping menilai aspek kebersihan, keselamatan makanan serta pengurusan tapak bazar agar sentiasa teratur dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

Turut hadir mengiringi lawatan ialah YBhg. Tuan Zamakhshari bin Hanipah, Datuk Bandar Ipoh.

Sepanjang program, YAB Menteri Besar telah meninjau gerai-gerai jualan di sekitar bazar, menyampaikan apron dan topi kepada para peniaga, melawat reruai pameran serta meninjau sudut “Kami Prihatin” yang diwujudkan sebagai inisiatif membantu golongan yang memerlukan.

Bagi tahun 2026, sebanyak 24 lokasi Bazar Ramadan di bawah seliaan MBI telah dibuka dengan jumlah keseluruhan 1,394 petak perniagaan dilesenkan. Hak penganjuran dan pengurusan bazar telah diberikan kepada 5 Persatuan Penjaja, 3 Persatuan Penduduk, 2 Jawatankuasa Masjid/Surau, 1 Koperasi Penjaja dan 4 Agensi Swasta.

MBI turut melaksanakan sesi taklimat kepada semua penganjur bagi memastikan pematuhan terhadap syarat penganjuran, khususnya berkaitan amalan pengendalian makanan yang bersih, selamat dan berkualiti, serta penetapan harga jualan yang berpatutan.

Seramai 80 anggota penguat kuasa MBI telah ditugaskan untuk menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan syarat pelesenan serta kebersihan gerai di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja dan Gerai (MBI) 2020, Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Antara kesalahan yang sering dikesan termasuk kegagalan memakai apron, topi dan kasut bertutup serta tidak menghadiri kursus pengendali makanan. Justeru, semua peniaga diseru agar sentiasa mengutamakan kebersihan diri dan premis jualan.

MBI juga menegaskan bahawa sebarang aktiviti menjual atau menyewakan petak bazar kepada pihak ketiga adalah dilarang sama sekali. Tindakan tegas termasuk pembatalan lesen akan diambil tanpa notis dan tanpa sebarang pampasan terhadap pelesen yang melanggar syarat.

Selain itu, penjualan mercun dan bunga api hanya dibenarkan pada jarak melebihi 25 meter dari sempadan tapak Bazar Ramadan serta tertakluk kepada keperluan mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lesen MBI.

Pada tahun ini, MBI meneruskan pelaksanaan konsep “Bazar Ramadan Mesra Alam” dengan mengetengahkan aktiviti ekonomi kitaran di semua lokasi bazar, antaranya:

1.Menggalakkan penggunaan bungkusan makanan biodegradasi serta amalan membawa bekas makanan sendiri;

2.Pelaksanaan program kutipan minyak masak terpakai daripada peniaga untuk diproses menjadi biofuel melalui kerjasama syarikat rakan strategik MBI, Green Energy Asia Biofuel Resources Sdn. Bhd;

3.Galakan penggunaan kaedah pembayaran tanpa tunai atau e-dompet melalui kerjasama bank-bank terpilih;

4.Pelaksanaan Program MySafeFood@Ramadan, iaitu agihan lebihan makanan selamat yang tidak terjual kepada golongan memerlukan dengan kerjasama Pemuda Gema Perak.

Sepanjang bulan Ramadan, MBI mengalu-alukan penyertaan peniaga dan pengunjung dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif mesra alam yang dianjurkan.

Usaha ini selaras dengan aspirasi pembangunan Bandar Rendah Karbon dan Bandar Pintar, seterusnya merealisasikan hasrat menjadikan Ipoh sebagai Bandaraya Bestari Sejahtera serta menyokong agenda Perak Sejahtera 2030.

Program ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Perak dan MBI dalam memastikan pengurusan Bazar Ramadan berjalan lancar serta memberi manfaat kepada masyarakat.

Source: MBI