Majlis Bandaraya Ipoh merupakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di negeri Perak dan Zon Utara terpilih bagi melaksanakan Projek Perintis Penurapan Semula Jalan menggunakan teknologi asfalt terubahsuai getah bekuan atau Cuplump Modified Asphalt – Cma. Untuk makluman, di Malaysia MBI dan DBKL telah terpilih untuk melaksanakan projek perintis ini.
Cma adalah merupakan kaedah penurapan jalan baharu menggunakan bitumen (tar) terpinda dengan campuran getah bekuan sebagai bahan campuran asfalt yang boleh meningkatkan kualiti turapan dengan mengurangkan kesan retakan, kesan aluran (rutting) dan memanjangkan jangka hayat turapan.Disamping itu, ia juga dapat mengurangkan kos penyelenggaraan jangka masa panjang jika dibandingkan dengan kaedah turapan secara konvensional sebelum ini.
Penggunaan cuplump asphalt terpinda (cma) ini memiliki beberapa kelebihan iaitu :
i. Daya tahan terhadap beban berat yang tinggi, dimana campuran bahan getah bekuan akan menghasilkan campuran asphalt yang lebih tahan terhadap beban berat lalulintas dan amat sesuai dilaksanakan di kawasan perindustrian dan jalan utama;
ii. Ketahanan terhadap cuaca ekstrem. cma lebih tahan terhadap fluktuasi suhu ektrem dan kondisi cuaca hujan dan panas;
iii. Ketahanan terhadap pencemaran bahan bakar, Cma dapat mengurangkan kerosakan permukaan turapan yang disebabkan tumpahan bahan bakar kenderaan;
iv. Kualiti permukaan turapan yang lebih baik. Cma dapat menghasilkan permukaan turapan yang lebih mampat dan kurang ronggaan.
Penggunaan Cma ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan pelepasan karbon rumah hijau dengan penggunaan campuran getah bekuan bagi mengurangkan penggunaan bitumen di dalam penghasilan bahan turapan jalan.
Peruntukan yang diterima oleh pihak MBI adalah sebanyak RM5 juta melibatkan kerja-kerja pembaikan dan penurapan semula jalan sepanjang 9.5 km melibatkan di sebahagian Kawasan Perindustrian Tasek, sebahagian kawasan Perindustrian IGB, sebahagian Jalan Bendahara dan sebahagian jalan utama di Station 18.
Kerja penurapan jalan ini dijangka akan dimulakan pada pertengahan bulan Oktober ini dan dijangka akan siap dalam tempoh 4 hingga 6 minggu.
Source: MBI