Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini boleh menyalurkan aduan atau segala permasalahan secara rasmi menggunakan platform Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Negeri Perak (MTOP) yang baru sahaja dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad.
“Penubuhan majlis telah dicadangkan oleh golongan OKU sendiri semasa kita mengadakan libat urus untuk Pelan Perak Sejahtera 2030. Jadi, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Perak menyediakan satu kertas kerja untuk dibawa ke Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri.
“Dengan adanya majlis ini, golongan OKU boleh membuat segala aduan dan rintihan secara rasmi dan kita akan bersidang sekurang-kurangnya dua kali setahun bagi memastikan hak mereka ini dibela,” jelasnya semasa program Majlis Jalinan Mesra YAB Menteri Besar Perak Bersama Golongan OKU 2022 di Arena Square.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri telah melantik empat orang ahli MTOP yang terdiri daripada golongan OKU dan pakar serta lapan Jawatankuasa Kerja (JKK) yang dipengerusikan oleh Ahli MMK Negeri. Antaranya, jawatankuasa reka bentuk sejagat dan alam bina, pengangkutan, pekerjaan, pendidikan, kesihatan, pendaftaran, bakat dan potensi serta kerohanian dan modal insan.
Jurucakap MTOP berkata, orang ramai boleh menghubungi talian utama 05-5269829 dan mendapatkan borang permohonan di Pejabat Sekretariat Pembangunan Wanita (SPW) di Meru, Ipoh untuk maklumat lanjut.
Sementara itu, Ahli MTOP, Muhammad Danial Azli, 30, berkata, beliau berharap MTOP ini dapat digunakan dengan sebaik mungkin untuk memberi informasi bantuan kerajaan dan membela nasib golongan OKU.
“Sebenarnya, kerajaan telah banyak membantu golongan OKU tetapi mereka masih tidak tahu di mana saluran yang betul untuk mencari informasi. “Bukan itu sahaja, kita akan berusaha untuk mengelakkan golongan OKU tersisih daripada masyarakat. Contohnya, pembangunan infrastruktur OKU di negeri ini masih banyak yang boleh diperbaiki. Kawasan awam serta masjid-masjid perlu lebih mesra OKU,” ujarnya semasa ditemui pemberita di majlis berkenaan.
Hadir sama, YBhg. Datin Seri Aezer Zubin, isteri kepada YAB Menteri Besar Perak; YB Pegawai Kewangan Negeri, Tuan Mohd Zaki Mahyudin; YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin serta Pengarah Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat (SPW), Puan Srihartini Mohamed Shamsudin.
Source: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak