Enakmen Anti Lompat Parti Diluluskan Di Dewan Negeri Perak

Facebook
WhatsApp
Telegram
Email
X
Dewan Negeri Perak hari ini meluluskan pindaan Rang Undang- Undang (RUU) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (Bahagian Pertama) (Pindaan) 2022 bagi membolehkan Enakmen Anti Lompat Parti dilaksanakan di negeri ini.
 
Usul bagi pindaan tersebut telah dibawa oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad dan disokong oleh Ahli Dewan Negeri Perak Pengkalan Baharu, YB Encik Azman Noh ketika Mesyuarat Pertama dan Mesyuarat Kedua Tahun Pertama Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
 
Kemudiannya, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad menggulung perbahasan bagi membolehkan undian dibuat dan RUU tersebut dipersetujui sebulat suara oleh semua Ahli Dewan Negeri Perak yang hadir.
 
Ketika sesi penggulungan, beliau berkata anti lompat parti ini akan menguatkan semula kepercayaan rakyat terhadap amalan demokrasi.
“Dalam erti kata lain, ia dapat melindungi hak rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli politik ketika proses pilihan raya selain meningkatkan integriti wakil rakyat untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di kawasannya.
 
“Keputusan kita semua pada hari ini bukan sahaja akan melakar sejarah baharu, tetapi merupakan permulaan kepada pembaharuan institusi yang lebih menyeluruh demi mengukuhkan demokrasi negara,” jelasnya.
 
Tambahnya lagi, Dewan Negeri ini perlu mengikuti keperluan undang-undang berkenaan tatacara pindaan kepada Akta A1663.
 
Antara keperluannya adalah undang-undang ini baru sahaja dikuatkuasakan di peringkat kerajaan pusat pada 5 Oktober yang lalu dan proses seterusnya adalah mendapatkan perkenan DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bagi membolehkan RUU itu diguna pakai dan diwartakan.
 
Persidangan ditangguhkan ke satu masa yang tidak ditetapkan.
 

Souce: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak