DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Berkenan Menganugerahkan Bintang, Pingat Dan Sijil Pengakap Raja

Facebook
WhatsApp
Telegram
Email
X
DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah berkenan bercemar duli menganugerahkan Bintang, Pingat dan Sijil Pengakap Raja, Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Perak 2024 kepada 278 orang penerima.
 
Keberangkatan tiba baginda di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, disambut oleh YBhg. Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Profesor Dato’ Dr Haji Mohd Zin bin Bidin diiringi YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad merangkap Yang Dipertua PPM Perak dan YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim merangkap Timbalan Yang Dipertua PPM Perak.
 
Mendahului senarai penerima adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengakap Wilayah Asia Pasifik merangkap Presiden Kebangsaan Pertubuhan Pengakap kebangsaan Filipina, Mr. Dale Bokingo Corvera dan Ketua Pesuruhjaya Tambahan, Persatuan Pengakap dan Pemandu kebangsaan India, Shri. Mohamed Ali Khalid yang dianugerahkan Bintang Semangat Rimba Rimba Emas (BSR-E).
 
Bintang Semangat Rimba Perak (BSR-P) telah dianugerahkan kepada YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri, Encik Khairudin bin Abu Hanipah, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, YBhg. Dato’ Mohamad Fauzi bin Mahson dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Tuan Haji Khairul bin Haji Abu Kassim.
YBhg. Mejar Jeneral Profesor Dato’ Dr Haji Mohd Zin bin Bidin berkata penganugerahan ini termasuk 6 orang pemimpin pengakap luar negara iaitu Filipina, India dan Thailand.
 
Tambahnya lagi, dalam usaha mengembangkan potensi dan kemahiran ilmu ahli pengakap Perak, Kerajaan Negeri Perak menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC Perak) telah bersetuju untuk memberi pajakan tanah seluas 4 hektar untuk dijadikan pusat latihan pengakap.
 
“Tanah tersebut akan terletak di antara Tanjung Tualang dan daerah Perak Tengah. Ia akan dipajakkan selama 40 tahun,” jelasnya.
 
Hadir sama, YB Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Azmir Shah bin Zainal Abidin dan YB Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Zaki bin Mahyudin.