Seramai 800 orang peserta telah menyertai Program Fun Ride Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Perak. Program ini melibatkan laluan sejauh 25 kilometer bagi kategori orang awam manakala 8.6 kilometer bagi kategori orang kenamaan, program bermula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Maharaja Lela.
Malah, ia diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali pada jam 7.35 pagi. Turut berkayuh bersama beliau adalah YB Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim; YBhg. Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato’ Sollehuddin Alyubi Zakaria; YBhg. Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), JPM, Datuk Mohammad Ismail; YBrs. Pengarah Eksekutif SEPADU, Puan Wan Azilawati Wan Mahmood dan YB Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin. Hadir sama, YB Ahli Parlimen Pasir Salak, Dato’ Sri Haji Tajuddin Abdul Rahman.
“Ini adalah kali pertama kita adakan program berbasikal Fun Ride bagi sesi JAKM. Kita tertarik untuk melakukan program ini kerana suasana kampungnya yang tenang dan aman damai. Di kesempatan ini juga, kita sendiri dapat turun padang melihat kawasan setempat serta membincangkan hal-hal rakyat secara santai,” jelas YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Mohd Zuki Ali.
Setelah itu, beliau bersama para tetamu berkesempatan melawat Kompleks Sejarah Pasir Salak dan menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada 20 keluarga asnaf di sekitar Kampung Gajah.
Source: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak