Pertandingan Pidato Perak Sejahtera Piala YAB Menteri Besar Perak dilihat sebagai medan terbaik bagi mencungkil bakat muda khususnya dari kalangan anak-anak negeri Perak. YB Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia & Sukan Negeri, Encik Khairudin bin Abu Hanipah berkata, pertandingan tersebut merupakan satu platform bermakna buat anak-anak Perak untuk melontarkan potensi luar biasa mereka.
Menerut beliau, usaha tersebut amat bermakna buat Kerajaan Negeri Perak kerana sambutan yang diterima amat memberangsangkan selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2022. “Menariknya pada tahun ini, buat julung kalinya, pidato bagi peringkat pelajar sekolah diadakan dalam bentuk bergandingan atau duo, yang melibatkan 66 orang pelajar dari kategori sekolah rendah, menengah rendah, dan menengah atas.
“Selain itu pertandingan tersebut juga memberi ruang kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan seramai 22 peserta dari 13 IPT bertanding secara individu dengan mempersembahkan pidato serta menampilkan satu minit pidato spontan,” katanya.
Beliau yang mewakili YAB Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani bin Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Pertandingan Pidato Perak Sejahtera Piala Menteri Besar Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.
Hadir sama YB Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri; YBrs. Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri, Bahagian Korporat, Puan Anita Binti Amri; YBrs. Pengarah Matrikulasi Perak (KMPk), Encik Azman bin Mokhtar; YBrs. Ketua Penolong Pengarah Kanan Teknologi Maklumat & Komunikasi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Encik Mohamad Khairi bin Mat Said serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.
Ujar YB Encik Khairudin bin Abu Hanipah lagi, platform pidato itu menggalas tanggungjawab dalam menyemai benih kepimpinan yang berani, berdedikasi, dan bersedia menggerakkan perubahan di dalam diri setiap peserta.
“Dengan menyampaikan mesej yang jelas dan penuh makna, seorang pemidato dapat membina jati diri, memperkukuh nilai, dan memupuk kepimpinan dalam kalangan belia.
“Saya percaya, melalui pidato, kita dapat membina sebuah masyarakat yang bukan sahaja peka dan cakna dengan isu-isu semasa, tetapi juga berani menyuarakan pandangan secara matang dan bertanggungjawab,” ujarnya lagi.
Pada majlis tersebut, YB Encik Khairudin bin Abu Hanipah berkesempatan menyampaikan hadiah kepada kepada para pemenang Pertandingan Pidato Perak Sejahtera Piala Menteri Besar Perak.
Bagi kategori IPT, juara berjaya dirangkul oleh Muhammad Aidil bin Ahmad Marzuki dari KMPk, diikuti dengan Roselind Nadiera Marzuki binti Talib dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Ainnur Najiha binti Mohd Sha’ari dari Universiti Kuala Lumpur (RCMP) Ipoh.
Manakala bagi kategori menengah atas, johan berjaya dimenangi oleh Mohamad Ayris Hejril bin Ahmad Hazlizul dan Amira Ariesya binti Azmin dari SMK Malim Nawar diikuti oleh Imanina Syahmina binti Hamizul Asri dan Maizatul Nur Awatif binti Yusof dari SMK Convent Teluk Intan serta Sharifah Izzah Nabihah binti Sayed Khairul Mizlan dan Aisyah binti Mohd Fakhizan.
Bagi kategori menengah rendah, johan diraih oleh Nur Elyana Elisya binti Nor Haslan dan Nor Aiman Danish bin Nor Haslan dari SMK Taman Jati serta SM STAR, diikuti oleh Ahmad Danieal bin Hardi dan Nur Futisha Maisarah binti Rohizad dari SMK Dato’ Kamaruddin serta Damia Batrisya binti Al Amin dan Erlyn Haslinda binti Mat Rosli dari SMK Sultan Abdullah.
Manakala kategori sekolah rendah berjaya dimenangi oleh Nur Zara Insyirah binti Anuar dan
Iris Zara Sofia binti Hafizal dari SK Tarcisian Convent diikuti oleh Nawal Ahnaf binti Yuzaidi Nur Syifa dan Umairah binti Mohd Faizal dari SK Proton City serta Nur Zarra Aimy binti Ahmad Hambali dan Alya Marissa binti Hamid Ali dari SK Iskandar Shah.
Source:SUK PERAK FB