Y.Bhg. Dato’ Rumaizi bin Baharin@Md Daud telah menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan dan cenderamata kepada 99 pesara dan waris pesara sempena Majlis Jasamu Dikenang petang tadi.
Ia turut dihadiri oleh Y.Bhg. Dato’ Mazlan bin Abd Rahman, Ketua WHIP Ahli Majlis MBI, Ahli Majlis, Tuan Ahmad Munir bin Ishak, Setiausaha Bandaraya; Pengarah Kanan dan Ketua Jabatan MBI.
Persaraan boleh diumpamakan sebagai suatu dunia baharu dalam kehidupan seseorang penjawat awam. Di situlah bermulanya fasa seorang penjawat awam melepaskan segala tugas, keringat dan amanah yang digalas selama ini.
Dalam ucapannya, Datuk Bandar menyatakan bahawa beliau merasakan persaraan pesara MBI merupakan satu kehilangan besar kepada MBI.
Beliau berharap para pesara tidak terus melupakan MBI walaupun telah bersara tetapi terus menabur bakti meningkatkan imej MBI serta memastikan pengalaman yang ditimba setelah berpuluh-puluh tahun mencurahkan bakti dalam perkhidmatan awam tidak disia-siakan begitu sahaja.
Penganjuran majlis ini adalah untuk merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga pihak pengurusan MBI atas sumbangan dan dedikasi yang telah dicurahkan oleh tuan-tuan dan puan-puan sekalian kepada Majlis Bandaraya Ipoh.
Persaraan merupakan fitrah perjalanan hidup yang sememangnya perlu ditempuhi dalam merentasi arus masa.
MBI merasa kehilangan pegawai dan kakitangan yang berpengalaman dan berdedikasi yang selama ini yang bersama-sama telah mencurahkan khidmat bakti untuk MBI dan Bandaraya Ipoh apatah lagi turut membantu mengharumkan nama MBI sama ada di dalam atau di luar negara.
Sesungguhnya sumbangan dan usaha yang telah diberikan para pesara akan terus dikenang dan persahabatan yang terjalin sepanjang perkhidmatan tidak akan terhenti di sini malah akan terus berkekalan.
Source:MBI